Ahad, 17 Januari 2021

Novel Kalvaria Dari Perspektif Penulis

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
"Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani"

Syukur kepada Allah dengan berkat kurnia-Nya, saya dapat menyiapkan manuskrip Kalvaria ini dan seterusnya dapat diterbitkan dibawah naungan Penerbit ITBM yang saya kagumi. Walau karya ini merupakan karya novel pertama saya, saya sangat hargai. Saya sedar diri. Saya tidak sehebat penulis lain yang telah lama berkarya, yang diberikan ide bernas untuk melahirkan banyak karya novel yang baik. Mereka memang penulis yang tidak kenal erti jemu berkarya. Saya mulai memahami kenapa penulis merasa seronok apabila karya mereka diterbitkan.  Ya. Setelah memerah otak, mencurah ide, mencipta sesuatu plot, kisah, tragedi dan menyelesaikan sendiri masalah yang diciptakan dalam karya novel mereka.  Mereka memang dilahirkan sebagai penulis hebat! Garapan penceritaan mereka yang menarik menggalakkan lagi peluang untuk mereka berkarya.

Ingin saya nyatakan, saya amat menghargai adik-adik yang menyertai pertandingan ulasan Novel Kalvaria yang telah saya anjurkan pada Bulan Ogos hingga Disember tahun 2018. Saya sebenarnya memberi peluang kepada adik-adik untuk memberikan ulasan "secara ilmiah" tentang apa mesej yang ingin saya sampaikan melalui karya saya. Setiap orang ada pengalaman sendiri. Tidak sama seperti apa yang kita fikirkan. Kita tidak berada di tempat mereka. Fikiran harus terbuka. Ulasan ilmiah berkenaan adalah mengikut spesifikasi yang saya harapkan.

Saya memang memerlukan ulasan ilmiah yang sedemikian rupa, ada saya kongsikan dalam blog ini. Tahniah adik-adik! Moga ia menjadi panduan dan membuka mata kepada yang hanya tahu mengkritik/menghukum karya orang lain tanpa ilmu. Saya sangat menghargai ulasan adik-adik! Peluang pertandingan ulasan ini adalah kerana mereka mahir dalam ilmu yang mereka pelajari di universiti dan mereka lebih arif menilainya. Walau kita pembaca novel tegar sekalipun, kita tidak mampu memberi ulasan sebaik sehebat adik pelajar yang mahir dalam bidang mereka! Biarlah mereka menjalankan tugas mereka untuk membuat ulasan secara ilmiah ini. Jika melihat pada kelemahan sesuatu novel, maka sampai kiamat, sampai bila sekalipun manuskrip seringkali ditolak jika editor/penerbit mencari kesempurnaan! Sememangnya sebagai penulis, saya memerlukan editor dan pakar bahasa yang mahir dalam ilmunya untuk membuat penambahbaikan dan kembangkan intipati karya ini dengan lebih baik. Terima kasih kepada penerbit yang menerima kelemahan dan editor yang sama berganding bahu baiki kelemahan penulis baharu seperti saya ini.

Apabila pemenang pertandingan ulasan Novel Kalvaria diumumkan pada 1 hb Januari 2019, saya merasa teruja. Ini adalah kerana ada 10 juri yang saya pilih untuk menilai ulasan berkenaan.  Juri tersebut terdiri daripada dalam kalangan pembaca, editor, bahasa dan pakar perubatan. Ini karya saya. Saya berhak memilih mereka secara terbuka. Mereka juga layak menilai. Terima kasih kepada semua juri yang terlibat. Tahniah saya ucapkan kerana tekun menelaah bagi memahami Kalvaria. 
_________________________________________________________

Saya memerhatikan secara keseluruhan, kebanyakkan ulasan adalah berkisarkan kepada percintaan, hubungan kekeluargaan dan kerjaya. Sebenarnya, mesej saya sangat tersirat. Ia berkenaan sesuatu yang cuba saya kupaskan pengisiannya berkenaan pengalaman hidup. Bagaimana seseorang itu jadi begitu. Tentu ada sebab istimewa yang memberikan suntikan kepada dirinya suatu peristiwa yang berlaku semenjak zaman kanak-kanak. Tidak ramai yang boleh membaca fikiran saya sehingga melahirkan karya ini....Suspen je..Haa.. Nanti saya ada masa sesuai akan saya coretkan. Sabar ya! saya sedia luahkan........................................Nak nangis jap...huhuhu... Bila baca Kalvaria. saya nangis. Ia macam luahan hati saya... 

Khamis, 3 Disember 2020

Mesej Penulis Dalam Novel Kalvaria


Bismillah.

Sebenarnya agak sulit untuk saya nyatakan di sini. Namun, sebagai pengajaran buat semua ia perlu diluahkan juga. Dalam Novel Kalvaria, saya bukan hanya fokuskan tentang kisah kerjaya, kekeluargaan dan percintaan, malah ia tentang kehidupan yang kita lalui. Menjiwai perasaan orang lain amat perlu semasa mencoretkan penulisan ini.

Muni Qazrina dan Mona Khairina adalah saudara kembar yang dibesarkan oleh atuk dan neneknya di kampung. Mereka mendapat pendidikan di kampung atas permintaan atuk dan neneknya.Begitu juga abangnya, Khalil Zulhilmi. Ayah mereka, Dr. Ahmad bertugas di hospital negeri yang sama, iaitu Terengganu, manakala, ibu mereka Puan Salbiah bertugas di kota metropolitan Kuala Lumpur mencari rezeki untuk keluarga, dan dalam masa yang sama berkhidmat untuk masyarakat dan negara. 

Di sekolah, Muni Qazrina antara pelajar pintar yang dilatih guru dan seterusnya menjadi pengawas perpustakaan di sekolah. Oleh kerana beliau rapat dengan pelajar lain kerana ketulusan hati beliau membantu membimbing pelajaran, beliau memahami nasib pelajar lain. Antara cita-cita dan keinginan, Muni Qazrina ada impian yang baik untuk membantu pelajar yang kurang bernasib baik untuk turut cemerlang dalam pelajaran. Dia bangkit memburu impian setelah menjadi guru dan bertugas di sekolah tempat dia mendapat pendidikan. Kepuasan baginya setelah mendapati pelajar semakin minat belajar untuk cemerlang dalam pelajaran. Dia merasakan pengalaman rakan-rakan semasa di zaman persekolahannya dulu adalah kenangan yang mendidiknya menjadi dia sekarang. Pengalaman hidupnya menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk cemerlang. 

Walau kerjaya sebagai pegawai perubatan adalah kerjaya yang diharapkan oleh keluarga Muni Qazrina, walau pembelajaran dan pengalaman dalam tempoh lama yang perlu ditempohi untuk mendapat gelaran Dr., dia tidak kisah akan semua itu. Apa yang penting adalah dia telah dilihamkan untuk menjadi guru dan dihantar ke sekolah itu. Dia dipilih untuk membantu memulihkan semangat yang hilang dan perlu disuntik semula agar masyarakat yakin bahawa potensi sekolah banyak bergantung kepada semangat keterampilan guru yang hebat! Kita pada hari ini adalah hasil bimbingan guru-guru yang hebat. 

Saya memerhati keadaan sekeliling yang sebenarnya berlaku menyebabkan terpanggil untuk menulis dan menyiapkan karya ini. Keadaan agak terkesan apabila mengenangkan nasib pelajar yang kurang bernasib baik seringkali diabaikan guru. Guru hanya memberikan perhatian yang lebih kepada pelajar yang mempunyai penampilan menarik. Status keluarga berada sering mendapat perhatian. Pelajar yang telah pandai terus diberi bimbingan dengan baik dan terus pandai. Bagaimana pula nasib pelajar yang kurang cemerlang dalam pelajaran? Mereka akan terus tersisih dan malu. Mereka akan terus merasa rendah diri. Dan, seterusnya akan hanyut dengan pemikiran sendiri. Remaja yang masih tidak ketahuan arah mana yang harus dituju dan mereka perlu dibimbing. Berapa ramai guru yang mengambil berat tentang perkara ini? Ada guru yang mempunyai rasa empati, akan merapati pelajar. Menyelami masalah pelajar. Tahniah! Saya sayang guru begini. Mereka adalah aset negara! Mereka guru ikhlas membimbing tanpa mengharapkan apa-apa. Sebab itu lahir Muni Qazrina untuk pengorbanan ini.

Berkenaan dengan personaliti Muni Qazrina. Dia sebenarnya mempunyai perwatakan yang agak tegas. Suka berterus terang. Berani. Walaupun mempunyai bentuk badan yang gempal, dia nekad berusaha menurunkan berat badan dengan cara pemakanan sihat dan aktif. Menurunkan berat dengan cara yang betul dan untuk sihat. Berbanding dengan Najmi Haiqal yang turut pernah mengalami keadaan kegemukan semasa peringkat asasi. Semasa menyambung pengajian di universiti dalam bidang ijazah pemakanan, Najmi Haiqal kecewa kerana perempuan menolak lamarannya. Dia sangat kecewa dan ekstrim menurunkan berat badan dengan cara pemakanan yang salah dan menjadi model pula untuk syarikat pengeluar produk pelangsing badan. 

Apabila seorang pegawai perubatan/guru berdebat dengan seorang pakar pemakanan, ia akan menjadi semakin hebat kerana bersaing untuk mempertahankan fakta. Apatah lagi apabila gabungan ini terjadi dalam pasangan suami isteri. Ia adalah cabaran. Perlu ada kerjasama untuk saling memahami. Rencah ini menjadi mekar dan mengeratkan lagi hubungan. 

Banyak lagi nak kupas intipati dalam Novel Kalvaria ni. Lain kali saya sambung lagi ya.






 



Rabu, 2 Disember 2020

Program Majlis Diskusi Novel UKM Bangi

 

Saya sangat terkejut apabila mendapat berita novel Kalvaria dipilih oleh pensyarah UKM iaitu En. Che Abdullah Che Ya, untuk Majlis Diskusi Novel.  Pelajar telah mempelawa saya untuk hadir ke majlis berkenaan. Ia bagaikan satu penghormatan buat saya sebagai penulis baharu. Terima kasih kerana memilih novel Kalvaria untuk pembelajaran pelajar Kesusasteraan Melayu.  Saya sedar, novel Kalvaria adalah novel biasa-biasa sahaja. Saya tidak tahu tentang kriteria pemilihan untuk Diskusi Novel ini. Apabila penulis hebat, Noor Suraya juga turut hadir dalam majlis itu, saya merasa bertuah. Dalam masa yang sama dapat bersua dengan beliau dengan karya beliau yang hebat, iaitu Tanah Andriyana. Dengan pantun beliau yang hebat ini, sangat menarik perhatian saya:-

Apa guna pasir setambun,
Kalau tidak setinggi duduk,
Apa guna kasih setahun,
Kalau tidak seumur hidup.

 

Syafiqah 

Ridha Farhan